Kenyataan dasar negara yang selalu ditunggu oleh masyarakat, khususnya golongan peniaga dan industri adalah pembentangan Belanjawan negara setiap tahun, lazimnya dalam Oktober. Ini kerana dalam kenyataan belanjawan itu akan terdapat beberapa kenyataan mengenai cukai langsung dan tidak langsung dan juga mengenai perbelanjaan pembangunan kerajaan, yang secara langsung akan mempengaruhi kepesatan pertumbuhan ekonomi negara.

Dasar belanjawan negara selalunya melibatkan perimbangan dan perkiraan dasar negara serta penglibatan sumber atau tabungan kerajaan, selaras dengan kedudukan makroekonomi dan permasalahan dalaman mahupun luaran negara.

Itulah sebabnya kita ada istilah dasar fiskal yang mengembang (expansionary fiscal policy) ataupun menguncup (contractionary policy). Selepas itu pula dipertimbangkan sama ada dasar expansionary atau contractionary itu diletakkan atas bahu bank pusat atau kepada pihak Perbendaharaan.