TUMPAT: "Walau ada sedikit kesan luka di tepi muka tapi wajahnya kelihatan tenang," kata Mohd Hazwan Ibrahim, 38, abang kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), yang dipercayai dibunuh suaminya di rumah di Nilai, Negeri Sembilan, Khamis lalu.
Mohd Hazwan berkata, dia sebak ketika melihat wajah adiknya, Allahyarham Norhazwani Ibrahim sebaik kain kafan dibuka untuk ditatap ahli keluarga buat kali terakhir.
"Wajahnya kelihatan tenang. Saya sangat lega apabila semua urusan sudah selesai. Selepas dua hari (selepas kejadian), jenazah Wani akhirnya selamat dikebumikan," katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, di sini, awal pagi tadi.









