RAMALLAH/ISTANBUL: Peneroka haram Israel menyerang satu delegasi diplomatik yang terdiri daripada wakil dari Perancis, Belgium dan Poland pada Sabtu sehingga mengakibatkan kecederaan ketika mereka melawat Bandar Taybeh di bahagian tengah Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.

Serangan itu berlaku selepas satu majlis rasmi menandatangani perjanjian bandar berkembar antara Bandar Taybeh di Palestin dan Bandar Saint-Pierre di Perancis, kata Datuk Bandar Taybeh Suleiman Khourieh kepada Anadolu.

Majlis berkenaan dihadiri Konsul Perancis dan Belgium, seorang wakil dari Poland yang tidak didedahkan namanya serta Datuk Bandar Saint-Pierre Christian Ravain.

Serangan itu menyasarkan delegasi berkenaan di kawasan barat bandar itu serta penduduk Palestin yang sedang memetik buah zaitun.