KUALA LUMPUR: Stigma mengaitkan pekerja mengalami masalah kesihatan mental sebagai lemah, tidak stabil dan tidak boleh diharap menyebabkan ada yang memilih merahsiakan keadaan kesihatan mereka itu daripada majikan dan rakan sekerja.

Lebih parah, mereka takut untuk tampil mendapatkan rawatan perubatan kerana bimbang hilang kepercayaan majikan, terlepas peluang untuk kemajuan kerjaya dan berisiko dibuang kerja.

Pakar psikologi di CPC International, Dr Noor Aishah Rosli, menjelaskan pesakit mental yang sedang bekerja cenderung menyembunyikan status kesihatan kerana bimbang diaibkan, rasa malu, selain tidak mahu majikan menganggapnya sebagai kekangan dalam menjalankan tugas.

CPC International adalah pusat perkhidmatan psikologi dan kesihatan mental swasta yang turut menyediakan penilaian psikologi serta perkhidmatan berkaitan kes mahkamah.