Sebut mengenai 'rumah busuk', rumah tinggal atau terbiar, pasti ramai yang mengaitkannya dengan unsur mistik selain terasa geli untuk menjejakkan kaki ke dalamnya kerana kotor serta berbau.

Mana tidaknya, ada rumah terbabit yang sudah jadi sarang penagih dadah selain sasaran kumpulan paranormal untuk memburu entiti misteri pada malam hari berikutan tidak berpenghuni.

Bagi ejen perunding hartanah, keadaan itu cabaran besar buat mereka kerana bukan mudah meyakinkan bakal pembeli untuk membeli rumah sebegitu terutama jika kediaman terbabit dikaitkan dengan kisah mistik atau dikenali sebagai lokasi kematian tragis.

Meskipun begitu, wujud segelintir ejen yang memandang 'rumah busuk' sebagai lubuk emas kerana menjadi punca rezeki mereka, malah ada yang sanggup membeli dan mendiami kediaman itu selepas diubah suai.