Shah Alam: Sambutan hari jadi bukan sekadar meniup lilin, memotong kek dan menerima hadiah, sebaliknya peluang merasai kegembiraan bersama rakan yang mungkin menjadi kenangan manis buat anak-anak di rumah kebajikan.
Menerusi inisiatif Bulan Komuniti Mekdi, McDonald's Malaysia terus berkongsi kegembiraan itu dengan anak-anak rumah kebajikan, sekali gus menandakan sedekad usaha menyantuni masyarakat.
Sempena ulang tahun ke-10 Bulan Komuniti Mekdi, lebih 100 restoran McDonald's di seluruh negara akan menyantuni lebih 140 rumah kebajikan menerusi kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dengan majlis kemuncaknya berlangsung di McDonald's Pandu-Lalu Seksyen 3, Shah Alam, baru-baru ini.
Majlis itu menghimpunkan anak-anak dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Persatuan Kanak-Kanak Trinity Selangor dan Yayasan Sunbeams Home untuk meraikan hari jadi bersama-sama, selain menyertai pelbagai aktiviti kreatif.






