Kuala Lumpur: Peluang pekerjaan, jurang pendapatan dan jaringan komuniti senegara menjadi antara faktor utama yang mendorong pekerja asing memilih Malaysia sebagai destinasi mencari rezeki selain tekanan ekonomi dan kesukaran hidup di negara asal.

Ketua Pusat Penyelidikan Populasi dan Migrasi Malaysia, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mashitah Hamidi berkata, penghijrahan dipengaruhi gabungan faktor penolak di negara asal dan faktor penarik di negara destinasi.

Katanya, Bangladesh dan Indonesia antara negara sumber pekerja asing terbesar di Malaysia dengan rakyat Indonesia berhijrah akibat jurang pendapatan dan peluang pekerjaan terhad di kawasan pertanian manakala rakyat Bangladesh berdepan tekanan ekonomi, kekurangan pekerjaan dan kesan perubahan iklim.