PETALING JAYA: Empat kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 8.45 pagi ini.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Sri Aman, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 151, diikuti Pasir Gudang, Johor (147), Serian, Sarawak (123) dan Larkin, Johor (110).

Secara keseluruhan, 61 stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala dua stesen berada pada tahap baik.

Tiada stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya setakat pukul 8.45 pagi ini.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).