Dalam kehidupan seorang Muslim, nazar sering dikaitkan dengan harapan, doa dan janji kepada Allah SWT. Ada yang bernazar apabila memperoleh kejayaan dalam kerjaya, dikurniakan zuriat, sembuh daripada penyakit atau terlepas daripada kesusahan hidup.
Nazar pada asasnya suatu bentuk komitmen seseorang kepada Allah SWT untuk melakukan amalan tertentu sebagai ketaatan kepada-Nya. Namun begitu, tidak semua perkara boleh dijadikan objek nazar. Islam menetapkan nazar tidak boleh ditujukan kepada perkara maksiat, bahkan nazar yang melibatkan perbuatan diharamkan tidak boleh dilaksanakan.
Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan nazar? Mengapakah nazar pada perkara maksiat tidak dibenarkan? Apakah tindakan yang perlu dilakukan sekiranya seseorang terlanjur bernazar untuk melakukan sesuatu bertentangan dengan syariat Islam?






