London: Lapan bulan selepas segelintir penyokong Brighton & Hove Albion mendesak Fabian Huerzeler dipecat susulan kekalahan di laman sendiri kepada Crystal Palace, pengendali muda itu kini membawa The Seagulls melayang tinggi di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah lawan sama 5-0, pagi tadi.

Pengendali berusia 33 tahun itu, yang termuda dalam saingan liga utama England, menyaksikan anak buahnya membenam seteru tradisi, Palace, dalam aksi yang turut menyaksikan Diego Gomez menghasilkan gol menakjubkan menerusi rembatan dari garisan tengah padang sehingga mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah.

Situasi itu jauh berbeza berbanding kekalahan 0-1 pada Februari lalu dalam aksi 'Derbi M23' yang menyaksikan Brighton terumbang-ambing di tangga ke-14, malah ada penyokong melaungkan kata-kata mendesak Huerzeler dipecat.