Kuala Lumpur: Isu bantuan kepada isi rumah kumpulan M40, peruntukan program sekolah dan Kampung Angkat MADANI serta keberkesanan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) antara perkara yang dijadual dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) meminta Menteri Kewangan menjelaskan langkah membantu isi rumah M40 yang tidak lagi layak menerima bantuan bersasar, tetapi terkesan dengan peningkatan kos sara hidup termasuk mekanisme menilai semula kelayakan berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan semasa.

Datuk Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) pula meminta Menteri Kewangan menjelaskan pecahan terperinci peruntukan RM50 juta dan RM200 juta yang dibelanjakan bagi program Sekolah serta Kampung Angkat MADANI bagi memastikan ketelusan impak kewangan dan bilangan sebenar penerima manfaat Program Perumahan Rakyat (PPR).