Kota Kinabalu: Pemandu treler berusia 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan kejadian kontena terjatuh lalu menghempap kereta sehingga meragut nyawa dua beranak di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Mohd Jadi Pelbi, 53, bersama anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati lori kontena jenis Hino berkenaan berhenti di lorong kiri jalan untuk menjalankan kerja memunggah kontena yang diletakkan di bahu jalan.

Katanya, ketika kejadian, pemandu treler sedang menaikkan kontena ke atas treler, manakala Toyota Avanza yang dipandu mangsa berada di lorong kanan menghala ke Pelabuhan Sepanggar.