Setiap pagi Isnin, isu yang sama bergema dalam kalangan pekerja: "Isnin lagi." Bukan kerana benci dengan kerja itu sendiri, tetapi kerana tempat kerja sering menjadi ruang paling sarat dengan tekanan, politik pejabat dan sasaran yang tidak pernah habis.

Persoalannya, mungkinkah ketenangan dan alam pekerjaan wujud dalam satu ruang yang sama atau adakah kedua-duanya sememangnya bertentangan secara semula jadi?

Jawapannya, ketenangan di tempat kerja bukan sesuatu yang datang secara automatik bersama gaji bulanan. Ia perlu dibina, sama seperti kita membina kemahiran atau kerjaya itu sendiri.

Jelas, punca sebenar bukan beban kerja walaupun ramai menyalahkan beban tugas sebagai punca ketegangan di tempat kerja. Tetapi jika direnung dengan jujur, dua pekerja dengan bebanan sama boleh mengalami tahap tekanan yang sangat berbeza. Apa bezanya? Selalunya bukan jumlah kerja yang membebankan, tetapi cara kita memegangnya sama ada kita bekerja dengan rasa terpaksa dan sentiasa membandingkan diri dengan rakan sekerja atau kita bekerja dengan kefahaman jelas tentang tujuan serta menerima bahawa tidak semua perkara dalam kawalan kita.