PETALING JAYA: Golongan profesional merupakan antara 46,000 individu yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan berkaitan penyalahgunaan dadah di seluruh negara sehingga Ogos lalu.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, penglibatan golongan profesional dalam penyalahgunaan dadah antara lain berpunca daripada tekanan hidup, bebanan kerja serta masalah hubungan dan keluarga.
Menurutnya, ada individu mengambil dadah untuk tujuan hiburan, manakala sebahagian lagi menjadikannya sebagai jalan pintas untuk meredakan tekanan dan mendapatkan ketenangan sementara.
“Antara faktor yang dikenal pasti ialah tekanan hidup, terutama di bandar. Mungkin disebabkan beban kerja, masalah hubungan dengan isteri atau teman wanita, selain konflik di tempat kerja dan dalam komuniti.










