BUTTERWORTH - Sebanyak 30 motosikal disita manakala 179 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Motosikal di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam di sini, bermula Ahad hingga awal pagi Isnin.Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, operasi yang dijalankan daripada jam 5 petang hingga 2 pagi itu dilaksanakan bagi mengesan penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk pengubahsuaian kenderaan serta ketidakpatuhan terhadap peraturan jalan raya.Menurutnya, berdasarkan laporan operasi, sebanyak 30 motosikal disita atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987."Sebanyak 179 saman dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi borang PDRM (K)257, dengan 158 kesalahan membabitkan motosikal direkodkan dalam pecahan kesalahan yang dilaporkan."Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada lesen memandu, iaitu sebanyak 25 kes, diikuti nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (24), tidak mempamerkan pelekat lesen kenderaan (17) dan pengubahsuaian struktur peralatan motosikal (16)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Tambah beliau, selain itu, sebanyak 16 kes membabitkan aksesori tidak sempurna turut direkodkan, diikuti pengubahsuaian ekzos (15), tiada nombor pendaftaran (13) serta tiada cermin sisi (12)."Kesalahan lain termasuk tiada perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, masing-masing enam kes selain lesen tamat tempoh (lima) serta brek tidak berfungsi dengan baik (tiga)."Dalam operasi sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 21 notis yang merangkumi lima notis teknikal, 14 notis saman dan dua notis sitaan bagi motosikal yang dikategorikan ekstrem," ujarnya.Anuar berkata lagi, operasi bersepadu itu turut melibatkan pemeriksaan terhadap 145 individu dan 133 motosikal bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan jalan raya."Bagaimanapun, tiada tangkapan direkodkan sepanjang operasi berkenaan," katanya.