sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Empat atlet kebangsaan yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) mencuri tumpuan pada hari pertama Varsity Track & Field (VTF) Grand Final 2026 apabila masing-masing berjaya memecahkan rekod kejohanan.

Dua daripada mereka iaitu Andre Anura Anuar dan Sadat Marzuqi Ajisan masih segar dengan momentum selepas mewakili negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang baru berakhir.

Andre Anura yang mewakili negara pada temasya itu bangkit daripada kekecewaan di Sukan Asia selepas sekadar melakukan lompatan 6.59 meter (m), apabila mencatat rekod baharu kejohanan dalam acara lompat jauh lelaki dengan lompatan 7.66m.

Sadat yang mencatatkan balingan 62.58m di Jepun merekodkan 63.4m dalam acara tukul besi lelaki untuk memecahkan rekod kejohanan.