zhahirah@hmetro.com.my

Di atas kain putih, Amai Kamarudin, 38, mencipta lakaran, warna dan corak hingga diterjemahkan menjadi karya yang membuatkan lelaki ini jatuh cinta pada dunia batik.

Segalanya bermula selepas berkahwin pada 2018 apabila isterinya mencadangkan supaya Amai menghasilkan sendiri corak batik yang diinginkan selepas mereka sukar menemui rekaan moden seperti dicari.

"Saya memang minat melukis dan mereka cipta, dari sekolah lagi saya suka melukis, jadi apabila isteri cakap apa kata awak lukis sendiri dan buat corak sendiri, saya cuba," katanya.

Percubaan pertama dan kedua ternyata tidak menjadi kerana ketika itu dia masih belum memahami teknik meletakkan lilin, penggunaan warna dan proses menghasilkan batik dengan betul.