Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.' Peribahasa ini sering disebut apabila seseorang yang pernah berjasa pergi meninggalkan kita. Namun bagi seorang Muslim, persoalannya lebih besar daripada sekadar nama terpahat pada bangunan, gambar tersimpan dalam galeri atau ucapan penghargaan memenuhi media sosial semata-mata. Apabila jasad sudah kembali ke tanah, apakah sebenarnya yang masih tinggal? Adakah Islam membenarkan kita mengenang, menyebut dan menghargai jasa seseorang yang telah meninggal dunia?

Jawapannya, mengenang kebaikan seseorang bukan sesuatu yang bercanggah dengan Islam selagi dilakukan dengan benar, adil dan tidak melampaui batas sehingga mengangkat manusia kepada kedudukan yang tidak selayaknya. Malah al-Quran sendiri menunjukkan bahawa nama baik yang lahir daripada iman dan amal soleh merupakan suatu nikmat. Nabi Ibrahim AS berdoa: "Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik dalam kalangan orang yang datang kemudian." (Surah al-Syu'ara': 84) Imam al-Tabari menjelaskan lisan sidq dalam ayat ini sebagai sebutan yang indah dan pujian yang baik yang kekal dalam kalangan generasi selepasnya. Ertinya, meninggalkan nama yang baik bukan kerana mengejar kemasyhuran, tetapi kerana kehidupan itu pernah memberi manfaat kepada manusia.