Pendidikan Terbuka dan Jarak Jauh atau lebih dikenali sebagai Open and Distance Learning (ODL) kian berkembang dan menjadi pilihan pada masa kini terutama pada mereka yang sedang bekerja dan memilih untuk belajar tanpa hadir ke kampus. Keterbatasan masa dan ruang untuk bersemuka dengan pensyarah atau berhubung dengan staf pengurusan di kampus memerlukan platform teknologi maklumat (IT) yang canggih dan komprehensif bagi menyokong keperluan pembelajaran dan pengajaran dalam kalangan pelajar.

Penggunaan platform pembelajaran dalam talian, aplikasi digital, perisian yang diintegrasikan dengan kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai sistem sokongan nadi utama dalam penawaran program ODL. Persoalannya, adakah universiti yang lengkap dengan teknologi sudah cukup untuk menjamin proses pembelajaran yang berkualiti dalam kalangan pelajar ODL?