Pengerusi GRS Hajiji Noor dan Armizan Mohd Ali bersama pimpinan gabungan itu pada Konvensyen GRS di Kudat, semalam. (Facebook pic)PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menggunakan pendekatan '3R' dalam menghadapi PRU16 sebagai sebahagian usaha menambah jumlah wakilnya di Dewan Rakyat, kata Setiausaha Agungnya Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata, strategi itu merangkumi retain (pertahankan), regain (raih semula) dan reinforce (perkukuh), dengan gabungan berkenaan terlebih dahulu mahu mempertahankan tujuh kerusi Parlimen dimilikinya ketika ini.
Tujuh kerusi disandangnya kini iaitu Tuaran, Penampang, Ranau, Batu Sapi, Sipitang, Tawau dan Papar.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, GRS juga perlu meraih semula kawasan Parlimen yang sepatutnya dari mula menjadi milik gabungan berkenaan dan mempunyai asas sokongan pada PRN Sabah tahun lalu.







