SHAH ALAM – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki menyamar sebagai pengawal peribadi sulit (ADC) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bagi memperdaya orang ramai dalam urusan jual beli rumah dan kenderaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor, Istana Mestika pukul 9.53 pagi pada 15 Oktober lalu berhubung satu hantaran di platform Threads.

“Hantaran itu mendakwa seorang lelaki menggunakan gambar Raja Muda Selangor dengan mengaku sebagai ADC baginda untuk memperdaya orang ramai dalam urusan pembelian rumah dan kenderaan, selain disyaki mengambil wang mangsa.

“Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.