KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui jenayah 'mafia korporat' di negara ini berpunca akibat sistem kurang telus yang diwarisi sejak puluhan tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, keadaan itu menyebabkan siri jenayah 'mafia korporat' sejak 1980-an, antaranya membabitkan syarikat gergasi Multi-Purpose Holdings Berhad (MPHB) yang dipaksa dijual.

Kelemahan sistem itu, katanya, menyumbang kepada kes pembelian dan pengambilalihan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, manipulasi pasaran saham, pelanggaran keperluan pendedahan korporat dan aktiviti pinjaman wang haram membabitkan ugutan.

Beliau antara lain mendedahkan siri jenayah 'mafia korporat' terbabit sering dikaitkan dengan Menteri Kewangan ketika itu, yang dikatakan mempunyai pengaruh dan dana dalam skala besar.