KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) melancarkan Kad Kredit-i Awwal yang menawarkan akses kepada pembiayaan lebih telus, mampu milik dan berhemah berlandaskan prinsip Syariah.
Kad Kredit-i Awwal diperkenalkan dengan tumpuan kepada pembiayaan bertanggungjawab, selaras dengan namanya yang membawa maksud 'permulaan' atau 'langkah pertama', bagi menawarkan pendekatan pembiayaan yang lebih berhemah kepada pelanggan.
Antara ciri utama kad berkenaan ialah kadar keuntungan efektif 14 peratus setahun, tanpa yuran tahunan, selain menggunakan konsep keuntungan tidak berganda.
Pelanggan turut menikmati perlindungan takaful percuma bagi baki tertunggak sebagai manfaat promosi sempena pelancaran kad itu, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.










