Kuala Lumpur: Keraguan terhadap kemampuan menyaingi pelumba kategori lebih tinggi hampir melemahkan semangat pelumba berbasikal trek para negara, Yusof Hafizi Shaharuddin sebelum dia bangkit membuktikan keupayaan apabila meraih pingat gangsa acara kejar-mengejar individu 3,000 meter lelaki C1-2 pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.

Pelumba berusia 29 tahun itu mengakui sempat berasa kecewa selepas dimaklumkan jurulatih bahawa tiada faktor membezakan antara kategori C1 dan C2 dalam acara berkenaan, sekali gus menyedari cabaran lebih getir menantinya apabila perlu bersaing dengan pelumba yang lebih kuat.

Namun, sokongan keluarga, terutama isteri, menjadi pembakar semangat buat Yusof untuk terus percaya terhadap kemampuan dirinya selepas menjalani latihan dan mengharungi pelbagai kesukaran bagi menghadapi temasya berkenaan.