Paris: Pelumba Australia, Ben O'Connor kembali menyertai Decathlon CMA CGM untuk bergandingan dengan prospek muda berbakat Perancis, Paul Seixas, umum pasukan itu.

Pelumba berusia 30 tahun itu turut disertai seorang lagi pelumba baharu, Pavel Sivakov dari Perancis, yang menyertai pasukan berkenaan selepas meninggalkan UAE Team Emirates.

Decathlon CMA CGM mengumumkan kepulangan O'Connor menerusi media sosial sambil mengimbas pencapaian pelumba itu ketika bersama pasukan berkenaan dari 2021 hingga 2024.

"Ben O'Connor kembali ke laman sendiri! Dia meninggalkan kesan besar bersama pasukan antara 2021 hingga 2024, dengan kemenangan peringkat di Tour de France (TdF) pada 2021 dan satu lagi di Vuelta pada 2024, selain menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan," menurut kenyataan pasukan itu.