ALOR SETAR: Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) diibaratkan seperti kisah Qabil dan Habil yang menggambarkan bahaya persaingan apabila pihak lawan dianggap sebagai ancaman yang perlu dihapuskan.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, persaingan sepatutnya dihadapi secara matang dan bukannya dengan tindakan menyingkirkan pihak yang dianggap mencabar kedudukan tertentu.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kisah Qabil dan Habil menjadi peringatan bahawa perasaan dengki boleh mendorong seseorang bertindak sehingga menghapuskan pesaingnya.
“Dalam dunia politik pula, apabila pihak tertentu melihat pesaing sebagai ancaman kepada kedudukan, muncul tindakan membubarkan wadah yang dianggap mencabar mereka. Alasan boleh dicari,” katanya kepada Utusan Malaysia.









