London: Cristiano Ronaldo memperoleh pendapatan dua kali ganda berbanding seteru utamanya, Lionel Messi selepas senarai pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia diumumkan.

Bintang Al-Nassr itu dilaporkan meraih kira-kira £488,000 (RM2.66 juta) sehari menerusi kontrak lumayannya bersama kelab Arab Saudi berkenaan.

Jumlah itu membolehkan Ronaldo menduduki tangga teratas senarai pemain bola sepak berpendapatan tertinggi dunia.

Menurut senarai Forbes, Ronaldo dianggarkan memperoleh sekitar £225 juta (RM1.22 bilion) semusim, merangkumi £187 juta (RM1.02 bilion) daripada Al-Nassr dan £37 juta (RM201 juta) menerusi urusan komersial.