KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Seksyen 17 Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, berhubung penentuan taraf kewarganegaraan anak yang lahir sebelum perkahwinan ibu bapanya didaftarkan mengikut undang-undang.Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata peruntukan itu masih relevan, dalam memastikan penentuan kewarganegaraan dibuat berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa."Sehubungan dengan itu, pada masa ini tiada tiada cadangan untuk meminda Seksyen 17 Bahagian 3 Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.Beliau menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang ingin tahu kesediaan kerajaan untuk mengkaji dan meminda peruntukan berkenaan, bagi mengelakkan anak dinafikan kewarganegaraan hanya disebabkan status perkahwinan ibu bapa.Shamsul Anuar berkata, kelahiran di Malaysia tidak memberikan kewarganegaraan secara automatik, kerana penentuannya bergantung pada status perkahwinan serta taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung ketika anak itu dilahirkan, mengikut perundangan yang berkuat kuasa."(Ini) selaras dengan peruntukan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam perkara pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, sah taraf anak dan peraturan-peraturan imegresen."Sebagai contoh, perkahwinan pasangan bukan Islam hendaklah didaftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian 1976 (Akta 164), manakala bagi orang Islam, pendaftaran perkahwinan hendaklah tertakluk kepada pentadbiran agama Islam di negeri masing-masing," katanya.Bagi anak yang dilahirkan sebelum perkahwinan ibu bapanya didaftarkan mengikut undang-undang, Shamsul Anuar berkata taraf kewarganegaraan anak itu ditentukan berdasarkan taraf kewarganegaraan ibu kandungnya, selaras dengan Seksyen 17 Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak menutup ruang kepada individu yang memenuhi syarat, untuk memohon kewarganegaraan melalui saluran yang diperuntukkan undang-undang."Mereka boleh mohon, tetapi lulus atau tidak tertakluk pada kelayakan yang digariskan. Setiap permohonan hendaklah memenuhi syarat yang ditetapkan dan dinilai berdasarkan keseluruhan fakta, dokumen serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya. - Bernama