PETALING JAYA: Kerajaan perlu menjelaskan risiko keselamatan siber yang mendorong larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam, termasuk kemungkinan pendedahan data lokasi dan maklumat sensitif kerajaan.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian berkata, penjelasan itu penting susulan pelaksanaan larangan berkuat kuasa serta-merta dan memastikan penjawat awam mempunyai alternatif yang selamat dan praktikal.

Katanya, Gerakan turut mempersoalkan sama ada larangan itu melibatkan peranti rasmi atau peranti peribadi dan sama ada penggunaan peranti itu adalah ketika bertugas atau urusan peribadi.

“Sekiranya terdapat risiko keselamatan yang serius, kerajaan mesti menjelaskan bentuk ancaman tersebut dan sama ada ia turut memberikan implikasi kepada pengguna awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.