KARYA ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Md Zain atau Pak Ngah akan terus berkumandang merentas generasi, namun persoalan lebih besar yang membelenggu industri muzik tanah air adalah siapa mampu menyambung perjuangan maestro yang mengangkat irama Malaysia ke tahap membanggakan.

Persoalan tersebutlah yang menjadi antara perkara penting yang dibincangkan menerusi Forum Apresiasi Tokoh: Adikarya Pak Ngah di Dewan Cendana, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), baru-baru ini.

Forum tersebut menghimpunkan penyanyi Noraniza Idris, pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS serta Dekan Pusat Seni Pentas Tradisional Aswara, Mohd. Kamarulzaman Taib atau Che Kem, bagi mengupas pemikiran, keistimewaan dan sumbangan Allahyarham terhadap perkembangan muzik Melayu.