KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan gagal dalam tuntutan mendapatkan semula RM1.6 juta daripada sebuah firma perunding kejuruteraan berhubung keretakan yang dikesan ketika pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra II di Kelantan, 14 tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu memutuskan kerajaan gagal membuktikan retakan itu berpunca daripada kecacatan reka bentuk yang disediakan Konsortium KMS Ingenieur-Bentara-RMR, iaitu defendan dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Rosli Yusoff mendapati firma itu melanggar obligasi kontraknya kerana gagal menyiasat retakan berkenaan dan mengesyorkan kerja pembaikan.

Mahkamah memerintahkan firma itu membayar RM54,720 kepada kerajaan bagi menampung kos pelantikan firma kejuruteraan bebas untuk menyiasat kerosakan berkenaan.