KUALA LUMPUR: Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH), menggesa Bank Negara (BNM) mewujudkan kerangka kerja berpusat bagi membantu keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui, susulan tragedi banjir kilat serta tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lalu.

Jurucakap MASFIH, Dr Manivannan Rethinam, berkata langkah itu penting berikutan pengumuman BNM yang bersedia memudah cara bantuan kewangan dan sokongan seperti penangguhan bayaran balik, pengecualian caj, kelonggaran dokumentasi, serta tuntutan insurans dan takaful.

Dr Manivannan berkata, selepas 39 hari berada dalam krisis dan ketidakpastian, MASFIH menghargai keprihatinan BNM.

Bagaimanapun, beliau berkata, satu mekanisme penyelarasan tunggal amat diperlukan supaya waris tidak perlu berurusan secara berasingan dengan pelbagai institusi perbankan, syarikat insurans dan pengendali takaful secara bersendirian.