PETALING JAYA: Sebanyak 125,690 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh negara menerusi Ops Tiris 4.0, dengan 514 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan dalam usaha membanteras penyeludupan barangan kawalan.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM59.9 juta nilai rampasan direkodkan.

“Untuk di kawasan sempadan,penguatkuasaan melibatkan dua sektor utama iaitu darat dan laut. Bagi sektor darat, sebanyak 357 kes direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM10.7 juta, manakala sempadan laut pula, sebanyak 275 kes (penyeludupan) dipatahkan dengan nilai rampasan sebanyak RM12.9 juta.

“Antara faktor yang boleh menyumbang kepada kelemahan kawalan penyeludupan ialah perubahan daripada pelaksanaan subsidi pukal kepada subsidi bersasar. Peralihan dasar tersebut, ditambah dengan perbezaan harga antara pasaran yang sah dengan barangan kawalan bersubsidi, boleh mewujudkan ruang kepada ketirisan dan aktiviti penyeludupan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.