MELAKA: Seramai 3,435 anggota polis dijangka ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, termasuk 1,500 anggota bantuan dari luar kontinjen negeri itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata penugasan itu membabitkan anggota kontinjen Melaka merangkumi petugas am dan pasukan khas, selain anggota bantuan yang akan diselaraskan Bukit Aman.
"Kita juga meminta bantuan luar sekitar 1,500 anggota untuk membantu penugasan bagi pilihan raya ini," katanya selepas Taklimat Sempena PRN Melaka Ke-16, hari ini.
Mengenai penggunaan teknologi bagi memperkukuh kawalan keselamatan, beliau berkata, polis turut menyediakan pasukan khas yang akan menggunakan peralatan seperti dron dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.








