KUALA LUMPUR: Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) terus memperkukuh standard akademiknya menerusi penilaian bebas oleh Panel Penilai Luar (PPL) bagi memastikan program pengajian yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan industri dan memenuhi piawaian pendidikan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali berkata, penglibatan pakar akademik dan wakil industri membolehkan setiap program dinilai secara objektif dan profesional, selain membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan.

Menurutnya, penilaian berkenaan meliputi kandungan kurikulum, kaedah pentaksiran, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian hasil pembelajaran pelajar.

“Kualiti memerlukan kesediaan untuk mendengar, keberanian menerima teguran dan kesungguhan melaksanakan penambahbaikan,” katanya pada Majlis KPTM Excellence Partners Appreciation 2026 di sini, Khamis lalu.