Seoul: Seekor jerung yang mengambil masa berjam-jam untuk didorong pihak berkuasa kembali ke laut lepas, dikesan berenang semula ke dalam terusan di bandar pelabuhan Busan melepasi jaring yang dipasang bagi menghalangnya daripada kembali.

Jerung sepanjang tiga meter yang dinamakan "Bukangi", sempena nama Korea bagi Pelabuhan Utara Busan tular di media sosial sejak dikesan di terusan berkenaan lewat bulan lalu.

Kehadirannya menarik perhatian kira-kira 1.6 juta pengunjung, menurut Perbadanan Infrastruktur Busan.

Setakat ini, pihak berkuasa melakukan tiga percubaan untuk menghalaunya kembali ke laut lepas dengan usaha terbaharu membabitkan penggunaan platform terapung, jaring dan penyelam.