Kuala Lumpur: Juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta, Indonesia bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah, kini ditahan di bawah perintah mahkamah untuk tempoh 30 hari lagi, selepas tamat tempoh tahanan awal selama 60 hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima perkembangan terkini berhubung kes itu daripada Direktorat Tindak Pidana Narkoba, Polis Republik Indonesia (Narkoba Polri).

Beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan penilaian pihak berkuasa Indonesia, dengan tempoh maksimum tahanan sebelum pertuduhan boleh dikenakan adalah sehingga 120 hari.

"Pihak PDRM telah menerima makluman terkini daripada Narkoba Polri. Mereka telah melanjutkan tempoh tahanannya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.