Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengangkat kedudukan puluhan ribu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menjadi pemain industri yang penting bagi menembusi pasaran antarabangsa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, sumbangan dan keupayaan PMKS di negara ini adalah tinggi, namun pada masa yang sama berdepan jurang yang besar.
"Sekiranya Malaysia mahu maju, kita tidak perlu bersaing dengan syarikat multinasional (MNC), tetapi kita angkat kedudukan puluhan ribu PMKS untuk menjadi pemain industri yang penting.
"Kecekalan, inovasi dan daya ciptanya kita dukung untuk dapat menembusi pasaran antarabangsa. Itu akan menjadi penentu kepada kejayaan kita," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026, di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini, hari ini.








