PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bakal mengakhiri saingan musim ini di Grand Prix New Zealand, Cambridge dari 4 hingga 7 Disember ini dalam usaha mengumpul mata kelayakan ke Kejohanan Dunia tahun depan.

Penyertaan itu menyaksikan Azizulhasni menjadi satu-satunya pelumba negara yang beraksi di New Zealand, manakala baki skuad kebangsaan akan menyertai kejohanan Kelas 2 di Tagaytay, Filipina pada tarikh sama.

Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, perlumbaan terakhir itu penting buat Azizulhasni sebelum skuad negara memberikan tumpuan sepenuhnya kepada misi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) bermula tahun depan.