BATU PAHAT - Polis mengesahkan empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas yang juga datuk dan nenek serta dua cucu mereka maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 107 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Yong Peng, di sini pada Sabtu.Mereka ialah Ab Shukor Athan, 68, isterinya, Mariam Ibrahim, 65, serta dua cucu pasangan itu iaitu Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, dan Muhammad Zaharil Hakimie Jumie, setahun.Kesemua mangsa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipercayai dinaiki bersama ahli keluarga mereka dari arah utara menghala ke selatan.Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, Ford Ranger berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sisi kanan sebuah treler.Treler berkenaan berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan enjin.Jelasnya, akibat pelanggaran itu, kenderaan pacuan empat roda berkenaan berpusing sebelum dilanggar sebuah kereta Toyota Vios yang datang dari arah belakang."Tiga mangsa, iaitu Ab Shukor, Mariam dan Nur Umie Zahiyah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala."Seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Zaharil Hakimie, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Yaani, Yong Peng," katanya ketika dihubungi pada Ahad.Tambahnya, pemandu Ford Ranger, Jumie Julong, 35, serta isterinya, Nor Hakimah Zakiah Ab Shukor, 32, turut mengalami kecederaan parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.Dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Zariff Hakimie Jumie, 2, dan Muhammad Zafrul Hakimie Jumie, 3, turut cedera dan dirawat di hospital sama, dengan seorang daripadanya ditempatkan di Zon Merah.Pemandu Toyota Vios, Chin Nyet Boon, 46, dan ibunya, Yong Ah Moi, 81, turut mengalami kecederaan di kepala, manakala pemandu lori, Mohd Nadzri Abd Wahab, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan.Mayat keempat-empat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSNI untuk proses bedah siasat.Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.