BATU PAHAT: Identiti empat termasuk seorang bayi berusia setahun yang maut selepas pikap merempuh belakang lori di Kilometer 107, arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Yong Peng, petang semalam terdiri daripada datuk dan nenek serta dua cucunya.

Mereka ialah Ab Shukor Athan, 68; isterinya, Mariam Ibrahim, 65; serta dua cucunya, Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, dan Muhammad Zaharil Hakimie Jumie yang berusia setahun.

Semua mereka cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Yong Peng.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata ibu bapa kepada dua beradik terbabit iaitu Jumie Julong, 35, dan Nor Hakimah Zakiah Ab Shukor, 32, cedera di kepala dan menerima rawatan di zon kuning Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).