Batu Pahat: Pemergian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang dipercayai dibunuh rakan sekelasnya pada 3 Oktober lalu sukar diterima datuknya Khyar Abas yang masih mengingati kenangan dengan remaja itu hingga kini.

Khyar, 69, berkata, mereka sekeluarga masih terbayang kehadiran Irene Sofiya di rumah terutama apabila melihat pakaian dan bilik Irene Sofiya, 16, dan setakat ini, mereka juga masih tidak mengusik barangan milik cucunya.

"Memang tidak boleh lupa. Cucu sentiasa bersama-sama saya dan isteri di rumah, jadi kehilangan ini masih sangat terasa.

"Masih terasa seolah-olah dia ada di rumah. Bilik yang saya sediakan dan semua barang miliknya masih saya biarkan begitu sahaja kerana tidak sampai hati untuk mengusik barang arwah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Parit Selamat di sini, hari ini.