BATU PAHAT: "Kenapa buat (bunuh) cucu saya sebegitu? Apa salah cucu saya?" Itulah rintihan Khyar Abas, 69, datuk kepada Irene Sofiya Mohd Kharool Faisal atas kehilangan cucu kesayangannya kelmarin.

Walaupun tahu Irene Sofiya yang lebih mesra dengan panggilan Fiya sudah tidak kembali lagi, Khyar sukar menyembunyikan kesedihan yang terpaksa dilalui mereka sekeluarga ketika ini.

"Kalau saya menangis sekali pun, Fiya tidak akan kembali. Saya cuma kesal kenapa Fiya menjadi mangsa?

"Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut. Bagilah balasan yang setimpal kepada mereka yang melakukan perbuatan ini.

"Kita mahu tindakan ini diambil bukan untuk saya atau keluarga, tetapi sebagai pengajaran supaya ia tidak berulang ke atas orang lain," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di rumahnya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng hari ini.