BATU PAHAT – Identiti empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 107 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Yong Peng di sini malam tadi sudah dikenal pasti.
Mereka ialah Ab Shukor Athan, 68, isterinya, Mariam Ibrahim, 65, serta dua cucu pasangan itu iaitu Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, dan Muhammad Zaharil Hakimie Jumie, setahun.
Kesemua mangsa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipercayai dinaiki bersama ahli keluarga mereka dari arah utara menghala ke selatan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, Ford Ranger berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sisi kanan sebuah treler.









