Abu Dhabi: Alexander Volkanovski membuktikan dirinya masih unggul apabila mengekalkan kejuaraan featherweight Ultimate Fighting Championship (UFC) menerusi kemenangan TKO ke atas pencabar dari Russia, Movsar Evloev pada UFC 333 di Etihad Arena, hari ini.

Petarung Australia itu menamatkan pertarungan pada saat terakhir pusingan kedua menerusi tumbukan tangan kanan dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas lawannya.

Kemenangan itu menyaksikan Volkanovski merekodkan penamat pertarungan pertama sejak 2023, selain mempertahankan tali pinggang featherweight dalam aksi kemuncak yang mencetuskan sorakan gemuruh penonton di Abu Dhabi.

Evloev, yang hadir dengan rekod tanpa kalah dalam karier profesionalnya sebelum pertarungan itu, akhirnya terpaksa menerima kekalahan pertama selepas gagal mengekang asakan juara berkenaan.