KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila teguran baginda disalah tafsir sebagai mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mahu mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak.
Sultan Sharafuddin bertitah, teguran baginda bukan dilakukan untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya baginda ingin memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat sentiasa diberikan perhatian utama.
"Beta tidak mahu rakyat melihat teguran beta sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara beta dengan kerajaan.
"Sebaliknya, beta mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab beta untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa depan negeri Selangor.










