KOTA BHARU: Seorang TikToker yang berniaga laksa didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengaibkan kehormatan bekas madunya melalui aplikasi WhatsApp dengan mengatakan wanita itu sebagai pelacur, tahun lalu.

Nur Hazwani Mustapha, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret R. Vinoshen.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan melalui aplikasi WhatsApp dengan menyatakan Nur Faezah Sohaimi, 33, sebagai seorang pelacur. Perbuatan itu dilakukan di Kampung Dusun Muda di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi pagi pada 1 November 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika disabit kesalahan.