KUCHING: Risiko wanita di Malaysia menghidap kanser payudara meningkat kepada satu dalam 23 orang berbanding satu dalam 27 orang sebelum ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia bagi tempoh 2012 hingga 2016 dan 2017 hingga 2021, kanser payudara kekal sebagai kanser paling lazim dalam kalangan wanita di negara ini.

“Lebih membimbangkan, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati 71 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas tidak pernah menjalani ujian mamogram manakala 46 peratus tidak mengamalkan pemeriksaan kendiri payudara.

“Tahap saringan yang masih rendah menyukarkan usaha pengesanan awal sedangkan kadar kelangsungan hidup bagi pesakit yang dikesan pada peringkat awal boleh mencecah 95 peratus,” katanya ketika berucap pada Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara peringkat Sarawak di sini hari ini.