Beijing: Diagnosis kanser tiroid mendorong seorang wanita warga emas berusia 67 tahun dari China merealisasikan impiannya mengembara ke Antartika untuk merakam gambar penguin sebelum menjalani rawatan, lapor NDTV.

Warga emas itu, Wang Ying, membelanjakan wang simpanannya untuk membiayai perjalanan selama sebulan itu, malah ibunya turut membantu menampung baki kos berjumlah 150,000 yuan (kira-kira RM91,600).

Wang, seorang jurugambar hidupan liar amatur yang sudah merakam lebih daripada 1,200 spesies burung, didiagnosis menghidap kanser tiroid pada 2013 ketika membuat persiapan untuk bersara daripada pekerjaannya sebagai pentadbir di sebuah sekolah di Kunming, Yunnan.

Menurut laporan media tempatan, doktor menasihatinya supaya menjalani pembedahan dengan segera, namun Wang ketika itu tidak mahu menjalani prosedur berkenaan dan mahu mengembara ke tempat jauh sekiranya hayatnya sudah hampir ke penghujung.