Kuala Lumpur: Suasana perkarangan Yong Sheng Banquet Hall, Muar, Johor dibanjiri orang ramai seawal jam 10 pagi untuk menghadiri kenduri rakyat bagi meraikan pasangan Bella Astillah dan Syed Saddiq (BASS), hari ini.
Perkara ini dikongsikan menerusi hantaran netizen di Threads yang memuat naik gambar serta video memaparkan orang ramai beratur panjang di sekitar perkarangan dewan terbabit.
Meskipun majlis berkenaan bermula jam 2 petang, tetapi warga Muar yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia bersemangat dan sanggup berpanas demi meraikan hari bahagia pasangan berkenaan.
Difahamkan, ada juga mula beratur seawal jam 7 pagi dan ada yang berpayung, membawa kerusi dan tikar untuk beratur bagi memastikan mereka mendapat tempat duduk bagi majlis berkenaan.









